Taubat. Suatu istilah yang pendek, yang senang disebut, tetapi sering di salah ertikan tuntutannya. Tuntutan taubat juga sangat berat untuk dipenuhi oleh orang yang merindui dosa dan kemungkaran. Sebaliknya, tuntutan taubat merupakan suatu kemanisan buat seseorang yang merindui untuk berdamping dengan kekasihnya yang sejati lagi hakiki iaitu Allah Rabbul Izzati.Kadang-kadang kita yang jahil ini sering terfikir. Kenapa kita perlu bertaubat ? Tidak lain dan tidak bukan ialah agar :
Kita dapat merasai keringanan dan kemanisan dalam beribadah. Agar hati kita sentiasa tenang. Kerana kejadian kita yang dicipta Allah SWT adalah untuk mengabdikan diri kepada Nya, adalah bersesuaian dengan fitrah kejadian kita yang benci menjadi hamba kepada selain Allah. Kerana setelah merasa kemanisan dan keringanan dalam beribadah, maka kita telah pun menerima taufik, bagi melaksanakan hidayah yang telah kita kecapi.
Agar ibadah kita di terima oleh Allah SWT. Ibadah yang kita lakukan, sedang kita bergelumang dengan dosa dan maksiat, belum tentu dinilai oleh Allah SWT. Ibaratkan seorang rakyat yang kotor tubuh badan disaluti selut lumpur, pergi mengadap Raja untuk menerima hadiah. Apakah Raja akan gembira dengan rakyatnya yang pengotor datang mengadap untuk menerima hadiah ? Begitu juga halnya dengan diri kita. Seandainya diri kita dikotori oleh dosa dan kemungkaran, apakah mudah untuk Allah menerima ibadah kita ? Melainkan kita membersihkan diri kita dengan taubat..
PENGERTIAN TAUBAT
Bahasa: Perkataan taubat diambil daripada perkataan (ta alif ba). Perkataan (ta alif ba) dalam Bahasa Arab membawa erti kembali.
Istilah: Taubat membawa maksud kembali iaitu kembali taat kepada Allah setelah menyesal melanggar perintah Allah atau melakukan larangannya.
Menurut pendapat Syeikh Abdul Kadir Al-Jailani, "Taubat ialah kembali seseorang itu daripada melakukan perkara-perkara yang dicela pada syarak kepada perkara-perkara yang dipuji pada syarak dan mengetahui dia bahawasanya, dosa dan maksiat itu membinasakan diri dan iman dan menjauhkan daripada Allah Azza Wajalla dan daripada syurgaNya".
Manakala taubat nasuha mengikut pendapat Abu Hasan Basri Radiallahhuanhu ialah " Bermula taubat nasuha itu iaitu menyesal dengan hati dan Istighfar dengan lidah dan meninggalkan maksiat dan segala anggotanya dan cita-cita bahawa tiada kembali kepada maksiat selama-lamanya".
Berpandukan pengertian taubat daripada pandangan dua tokoh ulama besar di atas dapatlah difahamkan bahawa taubat itu ialah satu cara membersihkan diri seseorang dari sebarang dosa atau maksiat yang dilakukan serta kembali mengerjakan perkara-perkara yang disuruh yang telah ditinggalkan. Orang yang telah melakukan taubat maka jadilah hatinya yang kotor itu bersih semula seperti kain putih. Amalan taubat itu hendaklah dilaksanakan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh mengikut syarat-syarat yang telah ditentukan oleh syarak.
No comments:
Post a Comment